Friday, 8 March 2013

LAHAD DATU KE LAHAD SULU???





Seperti tidak ada muqaddimah, tiba-tiba sahaja negara dikejutkan dengan peristiwa Lahad Datu dan lebih parah ia telah melibatkan banyak pembunuhan dan Lahad Datu kini seolah-olah berada dalam zon ‘peperangan’. Asalnya dikatakan bermula dengan tuntutan Sultan Sulu ke atas Sabah, namun kini ia berakhir dengan pertumpahan darah. Setakat ini, 8 orang anggota keselamatan Malaysia telah terbunuh manakala lebih kurang 30 orang ‘tentera’ Sultan Sulu terkorban. Sejak tercetusnya peristiwa ini, terlalu banyak persoalan yang muncul dan bermain di minda rakyat. Paling ketara ialah bagaimana perairan negara boleh diceroboh oleh sepasukan orang bersenjata tanpa dapat dikesan, walhal Malaysia mempunyai peralatan pengesan yang boleh dikatakan agak canggih dengan operasi kawalan perairan yang sistematik oleh beberapa pasukan keselamatan. Ada yang menyifatkan kejadian ini mirip dengan tragedi Al-Maunah di Sauk, Perak lebih 10 tahun lepas yang penuh tanda tanya di mana penceroboh berjaya melepasi kawalan keselamatan dengan cukup mudah. Bermula dari sini, satu per satu persoalan yang mencurigakan muncul, apatah lagi apabila Perdana Menteri tidak tampil memberikan penjelasan kepada segala persoalan rakyat. Tanda tanya lebih besar muncul apabila pasukan polis dan bukannya tentera yang mengendalikan kes ini walhal ia melibatkan pencerobohan bersenjata dari luar, yang seharusnya dikendalikan oleh tentera. Masih banyak lagi peristiwa dan persoalan-persoalan ‘aneh’ yang kekal tidak terjawab, kesemuanya berlegar baik di alam nyata mahupun di alam maya yang menjadi perbualan hangat masyarakat.


Namun, satu hal yang tak dapat dinafikan ialah tragedi berdarah Lahad Datu ini berlaku tatkala pilihan raya umum (PRU) ke-13 sudah sangat hampir. Dengan semakin menimbunnya kes-kes rasuah, kronisme, penyelewengan dan segala macam skandal yang berlaku serta terdedahnya projek pemberian IC percuma di Sabah, yang kesemua ini mungkin sahaja akan menumbangkan kerajaan UMNO-BN dalam PRU nanti, maka tidak hairanlah kalau ada di kalangan pemimpin pembangkang yang menyifatkan peristiwa Lahad Datu sebagai satu konspirasi untuk menutup segala kepincangan dan kelemahan di dalam pentadbiran kerajaan selama ini. Sesuai dengan politik fitnah-memfitnah dan tuduh-menuduh yang subur dalam sistem demokrasi di Malaysia, tragedi Lahad Datu juga tidak terlepas dari semua ini. Media pro-kerajaan, Utusan Malaysia dan TV3 telah mengaitkan penglibatan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan serangan bersenjata di Sabah ini. Manakala Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua pula dikatakan telah menuduh kerajaan sebagai bersandiwara. Sama ada peristiwa ini benar atau tidak, sama ada wujud pihak yang baling batu sembunyi tangan atau sememangnya tiada udang di sebalik batu, hakikatnya adalah, telah banyak nyawa yang terkorban atau dikorbankan. Hakikatnya juga, tatkala pasukan keselamatan sedang berperang di medan, parti pemerintah dan parti pembangkang pula sedang berperang di media, bagi meraih political mileage masing-masing. Inilah sistem demokrasi, sebuah sistem di mana pihak-pihak yang bergelumang di dalamnya akan menggunakan apa sahaja isu dan cara untuk menjatuhkan lawan politik masing-masing, semuanya demi pilihan raya dan demi kuasa.


Masyarakat kini sudah semakin bermaklumat dan boleh menilai serta melakukan analisis terhadap apa yang berlaku. Jika benar ia adalah sebuah perancangan dengan niat jahat tertentu, maka pada zaman IT ini di mana segala maklumat ada di hujung jari, ia hanya akan kembali memudharatkan pihak yang merancang. Namun, dalam keadaan ini, sebagai Muslim, kita tidak dibolehkan (haram) menyebarkan berita dusta atau fitnah. Walaupun kita boleh melakukan analisis dengan baik, namun kita tidak akan tahu dengan tepat kisah di sebalik tabir jika kita bukanlah perancang atau orang yang terlibat di dalamnya. Apa yang dapat kita katakan ialah, jika benar adanya perancangan, maka pihak yang terlibat akan menanggung dosa besar kerana telah terjadi banyak pembunuhan ke atas jiwa-jiwa manusia akibat perancangan jahatnya itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan apa yang dirancang oleh mereka dan Allah sekali-kali tidak berdiam diri dengan perancangan jahat makhlukNya itu dan Allah pasti akan membalasnya. Firman Allah :


“Mereka merancang dan Allah juga merancang dan Allah adalah sebaik-baik Perancang”  [al-Anfal (8):30].

  #Sebaliknya, jika peristiwa ini benar-benar berlaku tanpa sebarang perancangan daripada mana-mana pihak, maka apa yang harus difikir dan dilakukan oleh kita ialah menyelesaikan masalah ini dengan hukum-hakam Islam. Kita wajib kembali kepada penyelesaian Islam dan bukannya menyelesaikan masalah ini dengan emosi, akal atau dengan undang-undang demokrasi.

1 comment:

  1. tiada sebaik-baik perancang melainkan Allah s.w.t..semoga para sahabat yang telah berlepas ke lahad datu siang tadi,,kami mengiringi doa diatas segala pengorbananmu dan semoga berjaya....

    ReplyDelete