Seperti tidak ada
muqaddimah, tiba-tiba sahaja negara dikejutkan dengan peristiwa Lahad Datu dan
lebih parah ia telah melibatkan banyak pembunuhan dan Lahad Datu kini
seolah-olah berada dalam zon ‘peperangan’. Asalnya dikatakan bermula dengan
tuntutan Sultan Sulu ke atas Sabah, namun kini ia berakhir dengan pertumpahan
darah. Setakat ini, 8 orang anggota keselamatan Malaysia telah terbunuh
manakala lebih kurang 30 orang ‘tentera’ Sultan Sulu terkorban. Sejak
tercetusnya peristiwa ini, terlalu banyak persoalan yang muncul dan bermain di
minda rakyat. Paling ketara ialah bagaimana perairan negara boleh diceroboh
oleh sepasukan orang bersenjata tanpa dapat dikesan, walhal Malaysia mempunyai
peralatan pengesan yang boleh dikatakan agak canggih dengan operasi kawalan
perairan yang sistematik oleh beberapa pasukan keselamatan. Ada yang
menyifatkan kejadian ini mirip dengan tragedi Al-Maunah di Sauk, Perak lebih 10
tahun lepas yang penuh tanda tanya di mana penceroboh berjaya melepasi kawalan
keselamatan dengan cukup mudah. Bermula dari sini, satu per satu persoalan yang
mencurigakan muncul, apatah lagi apabila Perdana Menteri tidak tampil
memberikan penjelasan kepada segala persoalan rakyat. Tanda tanya lebih besar
muncul apabila pasukan polis dan bukannya tentera yang mengendalikan kes ini
walhal ia melibatkan pencerobohan bersenjata dari luar, yang seharusnya
dikendalikan oleh tentera. Masih banyak lagi peristiwa dan persoalan-persoalan
‘aneh’ yang kekal tidak terjawab, kesemuanya berlegar baik di alam nyata mahupun
di alam maya yang menjadi perbualan hangat masyarakat.
Namun, satu hal yang
tak dapat dinafikan ialah tragedi berdarah Lahad Datu ini berlaku tatkala
pilihan raya umum (PRU) ke-13 sudah sangat hampir. Dengan semakin menimbunnya
kes-kes rasuah, kronisme, penyelewengan dan segala macam skandal yang berlaku
serta terdedahnya projek pemberian IC percuma di Sabah, yang kesemua ini
mungkin sahaja akan menumbangkan kerajaan UMNO-BN dalam PRU nanti, maka tidak
hairanlah kalau ada di kalangan pemimpin pembangkang yang menyifatkan peristiwa
Lahad Datu sebagai satu konspirasi untuk menutup segala kepincangan dan
kelemahan di dalam pentadbiran kerajaan selama ini. Sesuai dengan politik
fitnah-memfitnah dan tuduh-menuduh yang subur dalam sistem demokrasi di Malaysia,
tragedi Lahad Datu juga tidak terlepas dari semua ini. Media pro-kerajaan,
Utusan Malaysia dan TV3 telah mengaitkan penglibatan ketua pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim dengan serangan bersenjata di Sabah ini. Manakala Naib
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua pula dikatakan telah menuduh
kerajaan sebagai bersandiwara. Sama ada peristiwa ini benar atau tidak, sama
ada wujud pihak yang baling batu sembunyi tangan atau sememangnya tiada udang
di sebalik batu, hakikatnya adalah, telah banyak nyawa yang terkorban atau
dikorbankan. Hakikatnya juga, tatkala pasukan keselamatan sedang berperang di
medan, parti pemerintah dan parti pembangkang pula sedang berperang di media,
bagi meraih political mileage masing-masing. Inilah sistem demokrasi, sebuah
sistem di mana pihak-pihak yang bergelumang di dalamnya akan menggunakan apa
sahaja isu dan cara untuk menjatuhkan lawan politik masing-masing, semuanya
demi pilihan raya dan demi kuasa.
Masyarakat kini sudah
semakin bermaklumat dan boleh menilai serta melakukan analisis terhadap apa
yang berlaku. Jika benar ia adalah sebuah perancangan dengan niat jahat
tertentu, maka pada zaman IT ini di mana segala maklumat ada di hujung jari, ia
hanya akan kembali memudharatkan pihak yang merancang. Namun, dalam keadaan
ini, sebagai Muslim, kita tidak dibolehkan (haram) menyebarkan berita dusta
atau fitnah. Walaupun kita boleh melakukan analisis dengan baik, namun kita
tidak akan tahu dengan tepat kisah di sebalik tabir jika kita bukanlah
perancang atau orang yang terlibat di dalamnya. Apa yang dapat kita katakan
ialah, jika benar adanya perancangan, maka pihak yang terlibat akan menanggung
dosa besar kerana telah terjadi banyak pembunuhan ke atas jiwa-jiwa manusia
akibat perancangan jahatnya itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan apa
yang dirancang oleh mereka dan Allah sekali-kali tidak berdiam diri dengan
perancangan jahat makhlukNya itu dan Allah pasti akan membalasnya. Firman Allah
:
“Mereka merancang dan Allah
juga merancang dan Allah adalah sebaik-baik Perancang” [al-Anfal (8):30].
#Sebaliknya, jika peristiwa ini benar-benar berlaku tanpa sebarang perancangan
daripada mana-mana pihak, maka apa yang harus difikir dan dilakukan oleh kita
ialah menyelesaikan masalah ini dengan hukum-hakam Islam. Kita wajib kembali
kepada penyelesaian Islam dan bukannya menyelesaikan masalah ini dengan emosi,
akal atau dengan undang-undang demokrasi.

tiada sebaik-baik perancang melainkan Allah s.w.t..semoga para sahabat yang telah berlepas ke lahad datu siang tadi,,kami mengiringi doa diatas segala pengorbananmu dan semoga berjaya....
ReplyDelete